Monday 7 October 2013

Luahan Jiwa

Meraung menangis kesedihan aku didepan cermin. Mak....Abah...dalam hati aku. Kekadang aku rasa rindu pada mereka. Kekadang muncul perasaan benci. Apakah ini? Kenapa aku rasa macam tu? Kalaupun aku ada saudara aku rasa aku tak perlukan mereka. Mereka sama sahaja macam orang lain. Malah lagi jauh untuk memahami berbanding yang lain. Apakah salah aku kerana aku jadi begini?

Aku pergi kepada sesiapa saja dimata, tetapi tak dilayani. Yang baik mahupun yang jahat sama saja. Yang baik tak mahu bersama aku, katanya aku jahat. Kata mereka aku sudah jauh lari landasan yang benar. Kalau pun aku pulang pada yang jahat, juga sama. Katanya aku tak seperti yang mereka inginkan. Telah aku relakan segala jiwa ragaku pada mereka, tapi sama. Terus aku berpindah-pindah tiada tujuan tetap. Merayau-rayau mencari manakah yang sudi menerima diri aku yang berbeda dari yang lain. Sungguh aku tak pinta jadi begini, telah aku cuba menjadi seperti mereka tapi tak berdaya. Sungguh pun tak terbilang aku mencuba, aku tetap sama. Aku tetap diriku yang terpinggir.

Telah ku seru, jiwa-jiwa yang simpati. Tapi mereka enggan, mereka bilang mereka masih mencari siapakah diri mereka, dan mana mungkin mereka membuang masa bersama-sama aku. Lalu aku jatuh, sedalam-dalamnya. Sambil meratapi kesedihan, tak tahu kemana lagi yang bisa ku adukan kesedihan ku. Lalu aku menulis di sini dengan harapan ada yang mengerti. Seperti mana tangisanku menitis ketika mengarang ayat-ayat duka ini, begitulah kau yang membaca. Apakah kau mengerti?

Dan tika ku menangis, apakah kau merasakannya? Jika mataku bisa berbicara, sudah tentu ceritanya amat teramat sedih mengalahkan segala kesedihan yang pernah tertulis olehku. Jika air mata ini terkumpul sudah tentu mampu mengairi sungai-sungai yang kekeringan lalu mencambahkan benih-benih pokok hijau yang menghiasi hutan-hutan sunyi, dan jika pokok-pokok hijau itu bisa berbicara, sudah tentu langit akan selalu mencurahkan hujan kerana turut bersedih. Dan seluruh bumi turut bersedih.

Pernahkah kau tidur dengan hati yang terluka? Menangis dalam kegelapan, serta ketakutan. Dan memeluk alas kepala sambil teresak-esak. Tak siapa yang tahu. Pernahkah kau? Jika kau tidur ditilamku pasti kau juga merasa yang sama. Begitu lah aku sejak beberapa malam ini. Dan jika kau baca ini, ambilah tangisan ku ini dan bawalah ia di kejauhan atau ditanam, agar ia tak kembali lagi. Semoga nanti aku tiada kesedihan lagi.

No comments:

Post a Comment