Wednesday 4 September 2013

Perang Manusia dan Makhluk Ganjil

Aku sedang rancak berbual bersama-sama sahabat-sahabat aku sambil berjalan kaki menuju ke ladang anggur. Hari malam dan hampir menjelang pagi, tetapi bandar masih riuh dengan penangkapan makhluk-makhluk yang ingin menawan manusia. Serata rakyat bersorak riuh sambil berarak di jalanan membawa makhluk besar tersebut di atas kenderaan beroda kayu.


Sambil aku berjalan-jalan dan berbual, aku memandang salah seekor makhluk yang diarak, badannya besar setinggi 6 meter diikat pada kenderaan tersebut, warna kulitnya merah dan bertanduk. Matanya juga membalas renungan aku, membuatkan aku takut. Di sebalik lampu jalan yang kekuningan itu, kami berlari-lari riang dan berkejaran menuju ke ladang anggur.



Kami sangat gembira dengan keenakkan buah anggur yang dipetik. Malam itu adalah malam yang paling gembira setelah lama manusia berperang dengan makhluk-makhluk tersebut, dan ternyata makhluk-makhluk tersebut tiada tandingan dengan kami manusia yang layak menjadi khalifah bumi, detik hatiku. Namun, aku seakan-akan dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena. Dalam gelak tawa sahabat-sahabat aku, aku merasa sedih. Hatiku kuat membisikkan yang semua ini takkan berakhir begitu saja.

Sedang kami semua bergembira, salah seorang aku mengajak kami ke salah sebuah taman di bandar kami. Tamannya sangat indah dan menjadi tumpuan anak-anak muda seperti kami. Hari sudah cerah, matahari mula muncul dari arah timur. Namun, kami semua masih belum pulang dan sedang menuju ke taman. Sampai kami di sana, kami merehatkan diri di kerusi taman yang diperbuat daripada batu marmar. Begitu juga astaka yang terletak di tengah-tengah taman, juga diperbuat daripada batu marmar.

Ketika aku leka berbaring di atas rumput-rumput hijau, aku terjaga dengan gegaran tanah. Terus aku bangkit dan semua sahabat aku panik dan lari meninggalkan aku. Aku berpaling ke arah belakang dan memandang dua ekor makhluk datang menuju ke arah kami. Tanpa melengahkan masa, aku terus mempercepatkan langkah aku ke astaka untuk berlindung. Kemudian terdengar gema suara makhluk tersebut, dimana mereka menginginkan kerjasama dari semua manusia untuk mencari aku dan beberapa lagi orang lain. Aku? Kenapa aku?

Aku jatuh terduduk betul-betul di hadapan astaka, sehingga seorang lelaki tua menarik tangan aku untuk naik ke atas tangga-tangga astaka. Dia meninggalkan aku di situ, yang kemudiannya berlari masuk kedalam. Dalam kekacauan tersebut, aku melihat seorang lelaki yang berbaju melayu hijau bertanya pada seseorang yang mungkin sahabatnya, kenapa makhluk tersebut mahukannya. Aku segera mendekatinya untuk bertanya tentang hal tersebut. Sahaja aku menyapanya, sahabatnya terus meninggalkannya sendirian bersama-sama aku. Kami panik, tiba-tiba datang seorang lelaki berjaket kulit menarik kami berdua ke dalam astaka.

Beliau mengajak kami berdua melarikan diri ke daratan (bandar kami adalah sebuah pulau). Tanpa banyak bertanya kami mengikutinya menuju jambatan yang berada di sebelah barat. Untuk memastikan keselamatan kami, kami tidak mengambil jalan jambatan tersebut, tetapi berenang di bawahnya. Sedang kami berenang menuju ke jambatan, aku terlihat makhluk tersebut memandang kami. Lantas dia mengarahkan orang-orang untuk menangkap kami.

Akan tetapi, lelaki berjaket kulit tersebut amat pantas, beliau mengarahkan kami berenang pantas menuju ke simpang jambatan (dimana jambatan tersebut mempunyai empat penjuru yang  memhubungkan ke pulau lain. Kami yang panik hanya mampu mengikuti arahan beliau iaitu menuju ke arah utara, disebabkan makhluk tersebut dapat membaca fikiran kami apabila kami memandangnya. Oleh itu, berkemungkinan besar, orang-orang arahannya akan mencari kami sepanjang ke barat.

Kami bersembunyi di bawah jambatan sambil bertanya pada lelaki berjaket tersebut. Beliau berkata, bahawa masanya sudah tiba. Aku tidak mengerti apa maksud beliau, tetapi aku tidak bertanya banyak kerana aku masih terkejut dengan apa yang terjadi. Beliau juga ada mengatakan bahawa beliau bukanlah antara orang yang dikehendaki oleh makhluk tersebut. Akan tetapi makhluk tersebut berkemungkinan besar akan mengkehendaki beliau jika beliau memandang tepat ke arah mata makhluk itu. Katanya lagi, makhluk tersebut ada suatu kuasa misteri iaitu apabila manusia memandang ke arah matanya, makhluk tersebut akan dapat membaca fikiran manusia dan akan mengenali manusia tersebut.

Tidak hairanlah makhluk tersebut inginkan aku. Akan tetapi, aku bertanya lagi, kenapa makhluk tersebut inginkan aku. Lelaki tersebut mengatakan bahawa aku adalah istimewa, begitu juga beliau, lelaki berbaju hijau dan beberapa lagi orang di luar sana. Istimewa macam mana pun aku tak pasti. Hari sudah kembali malam, kami teruskan perjalanan kami ke barat. Hal ini kerana, pada waktu malam pergerakkan kami akan menjadi lebih sukar untuk dikesan.

Kami berjaya sampat di daratan. Dan menginap di sebuah flat yang disewa. Sepanjang hari-hari kami, kami merancang untuk menghantar mesej kepada rakan-rakan yang lain seperti kami. Kami ingin mengadakan pertemuan rahsia kepada mereka. Oleh itu, kami telah menyewa sebuah bilik lain untuk menghantar mesej tersebut melalui sebuah komputer dan menggunakan kod-kod khas yang hanya mampu di fahami oleh golongan-golongan kami.

Selesai menghantar mesej tersebut, aku memandang ke bawah melalui tingkap dan melihat beberapa orang agen makhluk tersebut datang ke arah flat kami. Dengan pantas kami melarikan diri ke tingkap atas melalui tangga. Akan tetapi agen-agen tersebut pantas naik ke atas, kerana mereka dapat menjangkakan tindakan kami.

Terus kami berpecah dan menyamar menjadi orang-orang asal di sana. Kami berbual-bual dengan penduduk flat tersebut dan bergurau-gurau seakan-akan kenal sudah lama. Entah kenapa penduduk flat tersebut faham dan turut membantu kami.

Demikian itulah mimpi aku malam semalam, seperti cerita difilem. Hahahaha.

No comments:

Post a Comment