Saturday 11 October 2014

Rindu Ratna

Malam itu cerah diterangi cahaya bulan penuh, Ratna duduk di beranda melihat ombak yang menderu perlahan dipukul angin ke pantai. Bunyi airnya yang memercik berselang dengan nyanyian-nyanyian nyaring si cengkerik menghiasi malam yang tenang itu. Hatinya sayu dan tenang melayan perasaan. Kedengaran sayup-sayup suara seorang yang mengaji. Sungguh merdu alunan ayat-ayat suci yang dibacakan oleh suami tercinta. Lalu Ratna mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda syukur akan kurnian cinta dan ketenangan hidup oleh yang Maha Esa.

Alunan bacaan ayat suci terhenti, kedengaran lantai kayu berbunyi keriuknya. Megat muncul dari belakang dan duduk di tepi pintu. Ratna berpusing menghadap suaminya, lalu tersenyum dengan senyuman yang amat manis. Tiada tandingnya senyuman manis itu di mata Megat. 

                “Dinda masih berhadas?” Ratna tersipu malu diajukan soalan itu oleh suaminya. Dia hanya sekadar mengangguk. 

                “Tak mengapalah, nanti sudah mandi. Kita mengaji sama-sama ya?” Megat membalas senyuman isterinya lalu melihat ke arah bayangan bulan yang terpantul di permukaan air laut nun kejauhan. 

                “Baiklah Kanda. Cantik kan bulan kan Kanda?”  Ratna turut sama memandang ke arah pantulan bulan.

                “Cantik lagi isteri Kanda” Megat mencuit manja hidung isterinya. Lalu dia menarik tangan isterinya untuk bangun.

                “Kemana Kanda?” Ratna hairan dengan tingkah suaminya.

                “Ke kamar, Dinda. Bukan mahu itu, esoknya Kanda mahu bawa Dinda ke perbukitan. Terus kita harus tidur, kumpul tenaga. Lelah nanti mahu ke atas bukit sana.” Ratna ketawa kecil apabila suaminya kelihatan serius. Dia hampir terlupa perihal itu.

                “Baiklah. Ayo, Tidur.” Mereka bersama-sama berpegangan tangan menuju ke kamar. 

Di kamar, kelihatan Megat sudah lena. Ratna pula termenung melihat ke atas bumbung pelepah. Hatinya rasa bahagia, tiada pernah sebahagia begini. Seakan-akan hidupnya yang sebenar bukan di sini bersama Megat. Lalu dia mengiring menghadap Megat yang sedang enak tidur dan kemudian memeluk suaminya yang tercinta.

                “Dinda belum tidur?” Megat terjaga sebaik sahaja dipeluk Ratna. 

                “Ya, Kanda. Masih belum lena.” Ratna menguraikan pelukannya.

                “Ke sini Dinda Ratna. Kanda gurindamkan untuk Dinda supaya lena.” Megat duduk bersila dan menepuk-nepuk ribanya. Lalu tanpa bersoal, Ratna meletakkan kepalanya di riba suaminya. Megat mengusap-ngusap ubun isterinya. Lalu bergurindamlah Megat…


Berikan aku setitis rasa
Untuk ku semai sedikit cinta
Mengubat jiwa yang meronta

Tiada pangkat, tiada harta
Buat si isteri yang tercinta
Yang ada hanyalah kata-kata

Walau dekat rindu juga
Kalau jauh pasti duka
Cinta ini pasti dijaga

Tiada yang memisahkan kita
Melainkan Tuhan sahaja
Kalau pergi pun kembali jua

Mata Ratna mula tertutup perlahan-lahan, seiring dengan kegelapan kamar itu. Sumbu pelita makin kecil dan mengecil sampai habis. Padamnya pelita maka tidurlah Ratna.

                ~~~~~~

Bunyi jam loceng kuat mengejutkan Ratna. Kedengaran pintu di ketuk kuat.
                “Ratna! Cepat bangun! Nanti lewat ke kelas.” Kedengaran suara ibunya menjerit dari luar. Ratna duduk berteleku di atas katil. Entah apa yang dimimpikannya pun dah lupa. Terus dia bangkit dan mencapai tuala menuju ke bilik air.

No comments:

Post a Comment