Friday 10 January 2014

Si Kecil Yang Bertanya

Anah memimpin tangan ibunya sambil menjilat aiskrim yang hampir cair dek panas matahari yang membahang itu. Di kejauhan dia melihat jalan yang panjang, dan di penghujung jalan tersebut kelihatan air yang banyak. Dia berasa hairan sedangkan hari masih panas tapi ada jugakah hujan yang membasahi jalan. Lalu dia bertanya pada ibunya.

“Mama, kenapa sana ada air. Hujan panas ke?” Dia menggoncangkan tangan ibunya yang sedang leka bermain dengan telepon pintarnya itu.

“Sayang, itu bukan air hujan. Itu namanya Miraj.” Jelas Puan Noralia yang kemudiannya menyimpan telepon pintarnya kedalam beg. Baginya tiap-tiap persoalan kanak-kanak yang masih kecil harus dijawab dengan elok dan diberi perhatian supaya anak kecil itu tidak rasa terabai yang mungkin akan mengakibatkan anak itu memberontak apabila sudah remaja.

“Err..Mikj.. Mirak tu apa mama?” Tanya Anah  lagi dengan tergagap-gagap. Perkataan Miraj itu tidak pernah didengar apatah lagi untuk memahaminya. Namun kanak-kanak yang berumur 6 tahun yang bernama Fatanah itu amat pintar, seperti seorang pemikir cilik kerana sikapnya yang suka bertanya.

Puan Noralia yang serba salah, persoalan anaknya itu membuatkan dia terdiam seketika untuk berfikir. Miraj. Ketika disekolah dia pernah mempelajarinya, tapi dia sudah lupa kenapa Miraj itu terjadi. Kalau tidak silap Miraj itu terhasil daripada pembiasan dan pantulan cahaya matahari oleh awan. Tapi bagaimanakah dia mahu menjelaskan kepada anak perempuannya itu, nanti ditanya lagi pembiasan itu apa macam mana pula nak jelaskan kepadanya.

“Miraj lah sayang, M-I-R-A-J. Mama tak ingatlah sayang macam mana Miraj tu boleh jadi. Nanti malam mama cuba ingat mama bagitahu sayang ya?” Jelas Puan Noralia setelah lama berfikir.

“Baik mama.” Balas Anah yang mengangguk-angguk laju.

“Jom masuk kereta sayang, mama nak pulang. Mama nak cepat, mama nak masak untuk makan malam ni.” Puan Noralia melayani anaknya seperti melayani seorang dewasa. Supaya anaknya lebih senang untuk berkomunikasi dan cepat berdikari.

“Mama nak masak apa malam ni? Ikan haya goreng ada tak?” Tanya anak kecil itu. Ikan haya goreng dalam loghat Terengganu yang juga dikenali sebagai ikan tongkol itu adalah kegemarannya terutamanya jika di masak singgang.

“Macam tahu je kan anak mama ni” Puan Noralia memicit hidup anaknya yang kecil dan merah itu. Dan terus menghidupkan enjin keretanya meluncur laju meninggalkan tempat parkir taman permainan menuju ke rumahnya.

Selesai makan, Puan Noralia membuka notebook-nya untuk meng-google cara terbaik untuk menjelaskan apa itu miraj kepada si kecil.

Puan Noralia menjadi buntu bagaimana mahu menjelaskan kepada anaknya, seperti yang tertera di laman Wikipedia,

A mirage is a naturally occurring optical phenomenon in which light rays are bent to produce a displaced image of distant objects or the sky. The word comes to English via the French mirage, from the Latin mirari, meaning "to look at, to wonder at". This is the same root as for "mirror" and "to admire".”

Masakan dia dapat jelaskannya dengan baik. Jam menunjukkan hampir 10 malam, sudah hampir 2 jam Puan Noralia berada di depan notebook-nya itu. Lalu dia menutup notebook tersebut dan mengajak anaknya yang sedang leka bermain dengan lego. 

Lego adalah satu kaedah yang baik untuk membuat anaknya cerdas berfikir. Hasilnya anaknya mula bertanya akan hal-hal yang rumit hinggakan kadangnya Puan Noralia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Dia tidak membelikan anaknya permainnan patung, kerana itu menggalakkan anaknya berimaginasi. Dan itu tidak bagus untuk perkembangan otak anaknya.

“Anah, pergi gosok gigi sayang, mama kemaskan dulu permainan ni” Kata Puan Noralia sambil menarik tangan anaknya untuk bangun.

“Okay, mama!!” Anah berlari-lari anak menuju ke bilik air, sambil diperhatikan Puan Noralia dari jauh. Risau kalau anaknya jatuh.

Setelah selesai mengemas lego permainan Anah, Puan Noralia menuju ke kamar anaknya. Melihat anaknya yang telah sedia berbaring di katil, dia menarik nafas panjang dan tersenyum tawar. Keresahan bagaimana mahu ceritakan perihal Miraj itu kepada anaknya. Sungguh dia buntu.

“Kenapa mama? Mama marah Anah ke? Tanya sikecil itu.

“Tidak sayang, mama Cuma tak boleh jawab apa yang Anah Tanya siang tadi”. Jawab Puan Noralia yang  kemudiannya menarik selimut melitupi badan Anah.

Anah mencebikkan mulutnya, perasaan ingin tahunya itu berkobar-kobar. Puan Noralia kemudiannya mendekatkan dirinya ke sebelah tubuh anaknya. Sambil hatinya bertawakal pada Allah.

“Sayang, sebenarnya Miraj itu nampak macam air di jalan raya disebabkan matahari memancarkan cahayanya ke jalan, dan terpantul ke awan lalu menampakkan bayangnya seperti air yang Anah lihat tadi tu lah.” Jelas Puan Noralia pada anaknya sambil mengusap-usap rambut anaknya.

“Mama.” Panggil Anah.

“Ya sayang”

“Anah tak faham. Hehehe. Nanti bila Anah sekolah besar nanti Anah fahamlah” Sekolah besar yang dimaksudkan anak ialah sekolah rendah yang bakal di hadirinya pada tahun hadapan.

“Eeeee anak mama ni. Tu lah, lain kali jangan tanya soalan pelik-pelik. Kalau ada pun simpan dulu catat pada buku, bila sekolah nanti tanyalah cikgu banyak-banyak ya sayang?” Puan Noralia berasa lega kerana Anah tidak bertanya lanjut, kalau boleh mahu saja berharap anaknya itu tidak bertanya banyak. Namun apakan daya, karenah anak mesti dilayani. Maklumlah darah daging sendiri.

Sedar sahaja, Anah sudah melelapkan mata. Puan Noralia mencium pipi anaknya itu dan terus bangkit untuk menutup lampu.

“Selamat Malam anak mama, tak sempat baca doanya malam ni” Puan Noralia menutup pintu.


-TAMAT-

No comments:

Post a Comment